top of page

Bingkisan Buat Hajjah Muda

Updated: Jul 31, 2019

Tabung, Haji, Haid dan Ubat Satu waktu dahulu, majoriti jemaah haji wanita sudah pun berpangkat opah dan melewati usia menopause atau putus haid. Kos yang tinggi untuk pergi haji memerlukan simpanan seumur hidup yang akhirnya mencukupi di usia emas setelah bekerja keras sepanjang hayat. Kini, dengan adanya skim simpanan Tabung Haji, umat Islam boleh menabung dengan efisien untuk kegunaan haji. Pekerja Muslim boleh membuat simpanan secara potongan gaji. Saya sendiri menanam azam dan berdoa supaya cukup simpanan untuk pergi haji sebelum atau menjelang usia 40 tahun. Kesedaran makin meluas di kalangan umat Islam untuk membuat persiapan jangka panjang bagi menunaikan rukun Islam kelima ini. Anak-anak dibukakan akaun Tabung Haji seawal usia setelah surat beranak siap di Jabatan Pendaftaran Negara. Saya dan suami bertindak untuk mendaftarkan anak-anak kami bagi mendapat giliran haji sebaik sahaja akaun dibuka. Itu pun masing-masing mendapat giliran dalam masa 40 tahun dari tarikh pendaftaran haji dibuat. Dengan simpanan awal ini, ada yang telah mempunyai amaun yang mencukupi dan mendapat panggilan haji seawal 30an. Semakin ramai yang pergi haji di usia muda bagi memanfaatkan kudrat dan kesihatan yang ada. Saya bersyukur kerana doa saya untuk pergi haji di usia muda dimakbulkan Allah. Emak memerlukan mahram ke tanah suci kerana kesihatan abah yang tidak mengizinkan. Allah Maha Mendengar, doa saya itu dimakbulkan dengan bonus awal 10 tahun dari yang dihajatkan. Dipendekkan cerita, berkelana lah kami tiga beranak dalam kembara rohani yang sangat indah itu, emak, saya dan suami. Tinggallah Anak-anak yang baru berumur 3,5 dan 6 tahun dengan keluarga mertua. Selain cabaran meninggalkan anak yang masih kecil, saya juga berdepan dengan dilema menguruskan tetamu bulanan. Bagaimana saya dapat melaksanakan rukun ibadah sebagai tetamu Allah kalau tetamu bulanan itu bertandang? Itulah juga persoalan yang melazimi WhatsApp saya setiap kali tiba musim haji atau umrah. Bagaimana nak elakkan haid waktu haji/umrah? Pil apa yang sesuai? Makan macam mana pilnya? Mari saya kongsi kan pengalaman saya sambil menghuraikan misteri sains nya. Saya membuat rujukan dengan ustazah dan membaca fatwa berkenaan penggunaan ubat menahan haid. Hukumnya harus selagi tidak memudaratkan. Saya mula mengambil ubat pil perancang 2 bulan sebelum jangkaan tarikh saya berangkat ke tanah suci. Saya perlu menguji dahulu keberkesanan ubat tersebut sebelum digunakan di sana. Ubat yang saya ambil adalah pil kombinasi estrogen dan progesterone. Ubat ini akan menghalang proses ovulasi berlaku di samping menstabilkan dinding rahim. Secara semula jadinya, proses ovulasi menyediakan benih wanita (ovum) untuk disenyawakan sewaktu hari subur. Dinding rahim akan menebal dan bersedia untuk menerima janin yang bakal terbentuk untuk melekat di dinding rahim. Apabila persenyawaan tidak berlaku, maka dinding rahim yang tebal ini akan runtuh menjadi darah haid. Pil Combine OCP (oral contraceptive pil, ubat pencegah kehamilan) menghalang ovulasi, maka dinding rahim tidak menebal dan distabilkan dari runtuh oleh pil, maka tiada haid berlaku. Saya akan mengambil pil tersebut setiap hari, setelah azan pertama berkumandang. Di Makkah azan akan berkumandang dua kali di awal pagi. Azan pertama sebelum waktu subuh dan azan kedua setelah masuk waktu Subuh. Saya meneruskannya sehingga selesai urusan haji. Setelah segala urusan haji selesai, kami berazam untuk melaksanakan umrah setiap hari selepas Subuh dan berpuasa sunat pula. Ditakdirkan Allah, pada hari kedua saya berniat untuk puasa, saya terlupa sama sekali untuk mengambil pil tersebut. Saya hanya menyedarinya selepas azan kedua berkumandang. Memandangkan saya sudah berniat, saya teruskan sahaja puasa. Menjelang waktu Asar hari yang sama, terus turun darah haid. Sememangnya itu adalah kesan sampingan yang boleh dijangka kerana dinding rahim menjadi tidak stabil apabila tiada hormon yang mengawalnya. Dinding rahim akan runtuh menjadi darah haid. Haid saya berlangsung selama 8 hari, ia tidaklah banyak, tapi tiada tanda ia mahu berhenti. Tinggal 4 hari lagi sebelum saya meninggalkan bumi Makkah untuk ke Madinah. Saya mula gusar kerana perlu melaksanakan tawaf wida'. Saya cuba memberi mesej kepada Pakar Perunding saya yang turut mengerjakan haji pada musim itu. Saya menggunakan nombor telefon Malaysianya kerana itu sahaja yang saya ada. Mesej saya akhirnya dibalas keesokan harinya. Ditakdirkan Allah beliau terdetik untuk menukar sim card telefon ke nombor Malaysianya bagi memeriksa mesej penting. Tahun 2011 seingat saya belum ada aplikasi WhatsApp yang tidak memerlukan penukaran sim card. Beliau mencadangkan saya untuk mengambil dos tinggi progesterone bagi menghentikan darah haid. Tapi, saya perlu makan hingga pulang ke Malaysia. Jika tidak, darah saya akan turun tidak menentu pula. Saya mengambil Pil Provera 10mg 3 kali sehari yang saya beli di farmasi di Mekah. Haid saya berhenti selepas 24 jam. Saya berkesempatan untuk menjalankan umrah terakhir dan menyelesaikan tawaf wida'. Pilihan kedua bagi mereka yang mahu menahan haid adalah pil Provera yang perlu diambil 3 kali sehari. Ia akan menstabilkan dinding rahim dan meniru komposisi hormon ketika hamil. Ia perlu dimulakan 3 hari sebelum tarikh jangka akan haid. Pil ini perlu dimakan berterusan setelah mula diambil hinggalah pulang ke Malaysia. Melalui ilmu fisiologi kitaran haid dan manipulasi hormon, haid boleh ditangguhkan. Walau bagaimanapun, kita perlu faham dan sedar sepenuhnya, kita berusaha dan merancang. Allah jualah yang memberikan rezeki kepada kita sama ada ia berkesan atau tidak atau berjalan seperti yang kita rancangkan. Semoga ibadah haji kita diterima Allah sebagai haji yang mabrur.

97 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page