top of page

DSD versus LGBT

Updated: Jul 24, 2019


DSD (Disorder of Sexual Development) versus LGBT

Pagi itu saya mendapat kes buku teks. Kes yang termaktub dalam pengajian O&G tapi sangat jarang dijumpai. "Doktor, anak saya ni dah umur 18 tahun tapi masih belum datang haid." kata ibu yang membawa anaknya yang kelihatan biasa sahaja, malahan boleh saya kategorikan lawa orangnya. Saya membuat beberapa siri penyiasatan termasuk membuat pemeriksaan terperinci fizikal dan ujian ultrabunyi (scan). Beberapa perkara menimbulkan syak wasangka saya. Saya perlu tunggu beberapa ujian penting iaitu tahap hormon, MRI dan ujian DNA. Saya berikan masa 3-6 bulan untuk temujanji kerana ujian DNA agak mengambil masa ketika itu. "Bagaimana keputusannya doktor?" Tanya ibu penuh debar ketika temujanji ulangan. "Anak puan saya sahkan mempunyai Swyer Syndrome." Saya menerangkan lanjut bahawa dari aspek genetik, ia adalah XY iaitu genetik normal bagi lelaki. Tetapi kromosom Y nya langsung tidak aktif sejak dalam kandungan. Maka semua proses pertumbuhan berlaku sebagai wanita. Si ibu sangat terkejut dengan penerangan saya. "Jadi anak saya khunsa? Pondan?" Saya cuba menenangkan. "Tidak puan, dia wanita, sama macam saya dan puan walaupun mempunyai genetik lelaki. Akibat kegagalan kromosom Y, organ dalaman dan luaran beliau adalah sepenuhnya wanita." Pesakit kemudiannya diberikan rawatan hormon kerana ovari beliau tidak cukup kuat untuk menghasilkan estrogen dan ia penting untuk mengelakkan tulang beliau dari rapuh dan patah. Beliau juga mungkin tidak boleh hamil kerana ovari yang tidak berfungsi selain mempunyai organ peranakan yang kecil. Sungguh topik ini sangat penting hingga soalan esei peperiksaan doktor pakar O&G pun diminta huraikan pembentukan organ dalaman dan genitalia luaran janin lelaki dan wanita. Kenapa Allah tak jadikan setiap pembentukan itu sempurna sahaja untuk setiap bayi? Saya tidak tahu, itu adalah dari rahsiaNya untuk insan terpilih yang bakal diuji dan untuk para ahli sains genetik mengkaji. Dalam kes lain pula, seorang yang lahir sebagai wanita, tiba akil baligh mempunyai perubahan pertumbuhan badan yang menyerupai lelaki. Naluri beliau adalah naluri lelaki. Rambut dipotong pendek dan berkumis tipis. Memakai pakaian lelaki. Ketika giliran nama beliau dipanggil, semua mata liar bertumpu kepadanya apabila beliau berdiri. Ada juga yang membulatkan mata dan ada juga yang sedikit terbuka bibirnya. Melopong terkejut tapi nak 'cover'. Beliau adalah penderita Klinefelter dengan mosaic sex chromosome. Genetik beliau adalah 47XX/Y. Dalam keadaan ini, kromosom Y telah bertindak melelakikan beliau menjelang akil baligh. Sewaktu lahir, Y ini belum aktif. Beliau memilih untuk menjadi lelaki walau diperempuankan sewaktu lahir. Bagaimana pula mereka yang memang tak ada masalah kromosom sebegini tetapi mempunyai naluri yang sangat kuat menyongsang arah? Apa masalah mereka yang cenderung suka sesama jantina ini? Cuba setiap seorang dari kita ingat, pernah tak dulu kita suka sangat pada seseorang sewaktu mula mencapai aqil baligh? Ada yang simpan sahaja di hati dan ada yang sekadar berani tulis surat letak bawah meja. "Hai awak apa khabar? P/s your S.A. (secret admirer)". Ada kalanya kita melihat penampilan dan gaya seseorang yang kita sangat minati dan kagumi. Tidak semestinya berlainan jantina. Contohnya adik baru masuk asrama suka pada kakak pengawas yang bertanggungjawab menjaga dormnya. Malahan zaman di sekolah asrama budaya kakak adik angkat ini sangat 'trending'sekali. Perubahan hormon menjelang akil baligh kadangkala sangat tidak sekata. Ada kalanya ia mengelirukan minda kita tentang apa yang kita suka dan cinta. Batasan antara suka dan cinta ini kadangkala menjadi luar kawalan dan pertimbangan. Syukurlah andai anda tidak diduga sedemikian dan sentiasa 'straight'. Tapi memang ada yang diduga dengan naluri songsang ini. Salahkah perasaan itu? Ya salah dan songsang. Berdosakah mempunyai perasaan itu? Itu bukan hak saya memberi dosa dan pahala. Saya juga hamba tuhan. Dosa pahala itu hak Allah. Lagipun itu sebuah perasaan. Ia dalam hati dan minda mereka. Mengapa sesetengah orang diuji sedemikian rupa? Saya tidak tahu, mungkin itu bentuk ujian yang Allah berikan kepada mereka dan satu aspek kajian bagi pakar psikologi. Antaranya ada yang diuji dengan nafsu pemarah dan pembengis. Sikit-sikit nak cari gaduh dengan orang lain. Kalau dapat kawal dan sabar kan dapat pahala. Ramai yang bimbang apabila isu ini sudah keluar dari daerah minda dan hati sahaja. Golongan LGBT makin berani menyuarakan hak mereka malahan dikatakan proses normalisasi sedang berlaku pasca kerajaan baru. Walhal jutawan kosmetik itu telah sekian lama viral sebelum ini. Adakah kita perlu undang-undang untuk menghukum golongan LGBT ini bersuara. Atau perlu kita tangkap semua mak nyah di lorong haji taib dan semua yang menyerupai pengkid dan dibicarakan di mahkamah syariah? Itu yang saya tafsir dari kehendak pihak-pihak yang mahukan tindakan dan penguatkuasaan. Masihkah ada ruang untuk berdakwah untuk golongan ini supaya kembali ke pangkal jalan? Adakah sesi dialog yang dicadangkan oleh timbalan menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) bakal membuahkan hasil? Sesungguhnya agama itu nasihat. Maka saya melihat usaha dakwah perlu digiatkan sebelum kita mengkanunkan apa-apa hukuman pada mereka. Kalau setiap orang yang mengaku 'straight' dan cari seorang maknyah/pengkid untuk di dakwah macam mana? Lebih baik darwah fardiyyah (dakwah individu) sebegini dari kecaman jamaiyyah (kecaman berpasukan) dalam fb dan group whatsApp masing-masing.

24 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page