top of page

Kehamilan Dara


Hamil Tapi Dara... Saya menerima satu amanah dari salah seorang pesakit supaya menulis satu isu yang sensitif dan sangat peribadi . Isu yang selalu dianggap 'taboo' untuk dibicarakan secara terbuka. Ketika itu beliau datang untuk temujanji post natal setelah 6 minggu bersalin. Beliau meminta saya menulis berkenaan kegagalan seseorang wanita untuk hamil akibat gagalnya hubungan intim. Ini terjadi padanya akibat terlalu takut untuk bersama, sehinggakan beliau mengambil masa hampir 3 tahun untuk hamil. Dalam dua kes yang lain, seorang pesakit bunting pelamin, manakala seorang lagi pula hamil di tahun ketujuh perkahwinannya. Saya merawati mereka dari awal kehamilan. Kedua-duanya tiada masalah. Kehamilan yang dikategorikan berisiko rendah, ber'tag' putih. Saya tidak menjangka akan mendapat kejutan di akhir trimester ketiga. Secara rutin saya akan membuat saringan jangkitan kuman Group B Streptococcal apabila kandungan mencecah 34 hingga 36 minggu. Calitan 'swab' dari vagina akan diambil untuk mengenalpasti kandungan yang berisiko dijangkiti GBS. Pesakit yang telah menanti selama tujuh tahun tadi agak keberatan, tapi menurut sahaja arahan saya. Ketika alat speculum yang seperti mulut itik itu mahu dimasukkan, kelihatan bukaan farajnya seperti budak belum akil baligh. Sangat kecil, hanya boleh memuatkan satu jari sahaja. Diagnosa 'vaginal stenosis' atau vagina sempit dibuat. Ketika ditanya, beliau dan suami mengakui, tidak pernah berjaya melakukannya, hanya sekadar berazal atau dilepaskan di luar sahaja. Sungguh kuasa Allah Taala, berkat kesabaran mereka, terjadi jua keajaiban ini. Lain pula kisah si pengantin baru 10 bulan bernikah diatas. Beliau berjaya menjalani ujian saringan GBS walaupun sedikit payah memujuknya supaya tenang. Ketika melewati 39 minggu, tekanan darah sedikit tinggi dan memerlukan proses induksi kelahiran. Cubaan pemeriksaan vagina membuatkan pesakit menangis ketakutan. Barulah beliau khabarkan, proses pembikinan sebenarnya tidak pernah terjadi sempurna. Sama juga keadaannya, sekadar dipinggiran sahaja dilepaskan. Itu pun hanya sekali cubaan. Beliau dan suami sebenarnya terkejut besar apabila mendapati kejadian itu boleh menyebabkan beliau hamil. Saya memujuk perlahan, bukaannya tidak sempit, tetapi seluruh ototnya berkontraksi menolak jari saya keluar. Diagnosa vaginismus pula dibuat. Keadaan yang terjadi akibat kuasa minda luar sedar yang mengawal otot akibat rasa takut dan fobia. Dalam kedua-dua kes, pendekatan berbeza perlu saya lakukan. Kes 'vaginal stenosis' memerlukan pemeriksaan lanjut di bawah kawalan ubat bius bagi membolehkan pembedahan rekonstruktif untuk membuka bahagian yang sempit. Saya mencadangkan dua pilihan rawatan, sama ada sesi pembedahan yang berasingan untuk Caesar dahulu diikuti pembedahan untuk vaginal stenosis selepas pantang ataupun kedua-duanya dilakukan pada masa yang sama. Pesakit memilih untuk dua sesi pembedahan yang berbeza. Jadi tidak sukar menjaga dua luka ketika berpantang. Alhamdulillah bayi comel yang ditunggu sekian lama akhirnya datang dalam dakapan. Cuma, sayangnya sudah dua tahun berlalu mereka tidak kembali semula untuk rawatan lanjut. Saya bersangka baik mungkin mereka melakukannya di bawah kendalian doktor lain. Jadi saya tidak tahu apa kesudahannya kes tersebut. Bagi kes vaginismus pula, saya berjaya memasukkan ubat induksi. Dalam kepayahan, bukaan pangkal rahim dapat diperiksa dan bius epidural dapat diberikan. Para jururawat dan bidan yang berpengalaman di bilik bersalin berjaya memujuk pesakit untuk kekal tenang. Akhirnya, pesakit berjaya bersalin secara normal. Saya sempat berpesan kepadanya sebelum discaj, insha Allah selepas ini tidak ada masalah untuk bersama lagi. Bayi sebesar 3.4kg telah pun berjaya dilahirkan, maka tidak perlu takut lagi dengan 'barang' yang lebih kecil dari itu. Sebenarnya, bukanlah isu kehamilan dara semata-mata yang mahu saya kupaskan. Terdapat kes vagina sempit akibat komplikasi kelahiran yang terdahulu sehingga cukup mustahil untuk hubungan intim terjadi. Seperti kes yang saya jumpa sewaktu permusafiran ilmu di kota serambi Makkah ini. Kehamilan pertama adalah secara normal. Pesakit datang untuk induksi kelahiran kedua kerana sudah lebih seminggu dari tarikh kelahiran yang dijangka. Ketika ubat induksi mahu dimasukkan, didapati bukaan faraj juga sekadar satu jari. Rupanya, akibat komplikasi koyakan yang teruk pada kelahiran pertama, beliau memerlukan jahitan yang banyak. Parut yang terbentuk menjadikan vagina sangat sempit. Beliau memilih untuk menjalani pembedahan Caesarean dan pembedahan rekonstruktif untuk membuka vagina yang sempit pada masa yang sama. Mungkin kerana pernah trauma yang lebih teruk sebelum ini, jadi menjaga dua luka serentak tidak menjadi masalah buatnya. Kehamilan dara hanyalah 'tip of iceberg' disebalik isu besar kesihatan reproduktif dan seksualiti. Yang tersirat disebalik kisah-kisah ini adalah keadaan dimana setiap pasangan yang mempunyai masalah perlu terbuka dan tampil untuk mendapatkan bantuan. Buangkan rasa malu dan benamkan ego sedalamnya. Kaum wanita terutamanya selalu memendam perasaan dan menyimpan rasa bersalah kerana gagal memainkan peranan. Seolah merekalah satu-satunya punca kegagalan itu terjadi. Kaum lelaki pula mahu menjaga maruah dan mempertahankan ego kerana tidak mahu dilihat gagal beraksi. Masalah ini perlu diatasi bukan sekadar untuk mendapatkan zuriat keturunan sahaja. Ia terlalu kompleks dan mampu menggegarkan arasy apabila terjatuhnya talak akibat tekanan yang dihadapi oleh kedua-dua belah pihak suami dan isteri. Berbalik kepada pesakit yang meminta isu ini dikongsikan untuk manfaat masyarakat umum. Beliau dapat mengatasi fobia dan vaginismus serta berjaya menimang cahaya mata dengan kelahiran secara normal.

282 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page