top of page

Nilai Kertas Hijau

Pantang lepa handbag Ummi ditinggalkan dengan zip terbuka, ada sahaja tangan kecil yang buat 'spot check'. Semua barang nak dikeluarkan macam cikgu disiplin memeriksa kewujudan bahan terlarang dalam beg sekolah. Duit nota hijau RM 5 berjaya dicapai dan dikeroyokkan, segera Ummi cari nota biru RM 1 sebagai ganti. Eh, RM 1 pun duit juga, biar anak dididik dari awal untuk menghargai sekecil-kecil nilai RM 1. Saya segera mencari gantian yang sesuai jika mahu dikeroyok atau dikoyakkan sesuka hati. Terjumpa salinan resit bayaran pesakit yang juga berwarna hijau. Selalunya selepas rondaan wad dan caj ditulis, jururawat akan menceraikan salinan resit untuk simpanan doktor ini. Adakalanya saya terlupa juga nak ambil, jururawat akan berseloroh mengingatkan. "Doktor, duit raya ni tak mau ambil ke?" Ya, benar sekali nilai yang tercatat atas Kertas hijau itulah yang menjadi sumber pendapatan saya. Jumlah sebenar belum tentu dibayar penuh terutamanya pihak syarikat insurans. Kadangkala jenuh menulis laporan demi laporan macam pertandingan berbalas pantun. Akhirnya minta dikecualikan sesetengah bayaran. Malas diperpanjangkan lagi, pada balasan terakhir saya tulis dua huruf ini sahaja; "OK" dan turunkan tandatangan. Khalas. Bila berbicara nilai warna matawang ini, teringat saya gelagat anak-anak zaman sekarang apabila diberi sampul hijau di hari lebaran. Ada yang terus membuka isi kandungan seraya membuat liputan berita terkini, "Ala, seringgit je." Setiap kali anak saya mahu membuka sarung didepan pemberinya, saya segera menjegilkan mata, tak mahu dijadikannya kebiasaan. Saya teringat satu babak dalam drama Korea 'The Moon Embracing the Sun' ketika maharaja membuat proses pemilihan akhir bakal menantunya yang akan menjadi isteri Putera Mahkota, bakal permaisuri. Soalannya adalah "Berapakah nilai diri saya (maharaja)." Calon pertama menjawab tidak tahu. Calon kedua menjawab nilainya antara bumi dan langit, tidak tahu mana penghujung langit, kiranya Infiniti lah, macam Antah Parmana gitu. Calon ketiga, mestilah heroinnya kan, menjawab 1 Nyang, matawang Joseon ketika itu. Macam RM 1. Terkejut Maharaja dan permaisuri. Apa pasal pulak rendah begitu nilainya. Si heroin menjawab, untuk rakyat marhaen, mendapat 1 Nyang itu sudah menjadi satu rahmat yang tidak ternilai. Maka 1 Nyang itu sangat tinggi nilainya buat rakyat jelata yang hidup dalam kepayahan dan kemiskinan. Itulah maharaja di mata rakyat. Wah, berjumpa sudah menantu idaman maharaja. Jom balik semula ke zaman ini. RM 1 sebagai belanja saku memang tidak kenyang walaupun hanya membeli di kantin sekolah. Realiti hari ini. Tapi cuba ubah sudut pandang , nak beli nasi dengan ayam RM 3, tetapi tadi baru bagi kawan pinjam RM 1 beli air. Tak cukup RM 1, lupakanlah ayam, makan nasinya sahaja. Kan baru terasa tingginya nilai RM 1. Untuk anak-anak ummi, nilai nota biru atau hijau, itu tetap keringat ibu bapa yang bekerja demi mencukupkan keperluan anak-anak supaya hidup aman dan selesa.

16 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page