top of page

Simulasi Jahitan Episiotomy

Setiap kali menjahit selepas bersalin, pasti ibu-ibu akan bertanya berapa jarum? Panjang kah luka? Berapa lama lagi? Untuk itu sementara saya menunggu peserta terakhir hari ini (harapnyalah) mencapai bukaan penuh untuk bersalin, saya kongsikan teknik jahitan luka episiotomi.

Bahan: 1) Kertas terpakai 2) pen berwarna warni 3) stapler (pastikan ada pelurunya ya) Luka episiotomi yang dipotong ketika bersalin mempunyai 3 lapisan. Lapisan terowong vagina, lapisan otot dan lapisan kulit. Semuanya perlu dijahit berasingan satu persatu. Jahitan pertama ditandai dengan pen merah adalah luka pada vagina. Lapisan ini adalah yang paling ke dalam dan dijahit terlebih dahulu.

Jahitan kedua iaitu lapisan otot, ditandai dengan pen hijau. Saya selakkan sedikit dalam simulasi stapler untuk menunjukkan bahagian otot yang telah rapat dijahit.

Jahitan ketiga iaitu lapisan kulit ditandai dengan pen biru. Lapisan inilah yang akan kelihatan dari luar atau dapat dirasa dengan tangan apabila mencuci luka.

Maka selesailah simulasi jahitan episiotomi. Luka yang anda lihat dari luar hanyalah satu pertiga dari keseluruhan luka episiotomi. Itulah sebabnya luka yang kelihatan kecil itu mengambil masa lama untuk dijahit. Kalau tanya berapa panjang luka susah saya nak ceritakan. Sebab ia berlapis-lapis. Senang kira, kalau tanya berapa banyak jarum, rasalah berapa garis benang yang terdapat pada luka di kulit, darab sahaja dengan tiga. Kalau tanya berapa lama perlu di jahit, ikutlah tahap kemahiran dan pengalaman tukang jahitnya. Mengikut pemerhatian peribadi: Doktor HO : 15 minit setiap lapisan ×3 = 45 minit Doktor MO : 10 minit setiap lapisan ×3 = 30 minit Doktor Pakar : 5 minit setiap lapisan x3 = 15 minit Akak misi (Jururawat) labour room KKM mungkin 9 minit sahaja kut (3 minit × 3) Ini hanya anggaran saya sahaja. Ia bergantung kepada pelbagai faktor lain juga: # tahap gemuruh doktor HO untuk menjahit, # tahap kekok MO yang selalu lepas tangan pada 'staff nurse' untuk jahit dan # tahap cerewet pakar yang meminta pelbagai alat atau jenis 'suture' (jarum) jahitan yang kadangkala tidak wujud di dalam labour room. Saya bergurau sahaja. Faktor sebenar adalah pada perkara berikut: (1) kejelasan penglihatan doktor yang menjahit Iaitu sejauh mana kawasan yang mahu dijahit dapat dilihat dengan baik oleh doktor. Ini termasuklah pencahayaan dari lampu yang menyuluh luka tersebut. (2) tahap luka pesakit Adakalanya terdapat luka lain yang terjadi spontan selain episiotomi yang dipotong. Luka ini mungkin koyakan sambungan dari luka episiotomi, mungkin juga koyakan yang berasingan pada serviks (pangkal rahim) atau dinding lain vagina. Lagi kompleks koyakan, lagi banyak masa yang diambil. (3) Kerjasama pesakit Ini adalah faktor utama kelancaran proses menjahit luka. Jika pesakit asyik cuba mengepit dan melarikan punggung, maka susah lah doktor mahu membuat kerja. Ini juga salah satu penyebab yang menyumbang kepada faktor (1) diatas iaitu kejelasan penglihatan doktor untuk menjahit Tips untuk mengurangkan sakit ketika menjahit: 1) tenangkan perasaan, letak bayi anda di dada dan alihkan perhatian minda anda dari memikirkan Sakit kepada melihat bayi comel anda. 2) penggunaan entonox atau gas semasa doktor menjahit. Adakalanya kita hanya menggunakan entonox untuk menahan sakit kontraksi sahaja. Sedangkan entonox juga boleh digunakan untuk mengurangkan Sakit sewaktu dijahit. 3) berzikir dan membaca doa sepanjang menunggu proses menjahit selesai. Lain kali kalau anda tanya berapa jarum kena jahit, jawapannya doktor hanya pakai satu atau dua jarum sahaja. Benangnya sahaja yang panjang sehingga 90 cm, cukup untuk menjahit luka episiotomi sebanyak 3 lapisan ini.


437 views0 comments
bottom of page