Ummiku Sibuk Di Dewan Bedah (mencari motivasi di fasa kejatuhan)
Part 2
Kisah Ummi tak habis lagi.. Malah mungkin tak habis kalau saya dapat adik. Paling kurang pun setahun setengah lagi saya masih akan cerita kisah Ummi.. Semalam Ummi balik lewat pukul 9 malam. Saya sudah siap tadah mulut tunggu ummi. Rupanya semalam Ummi punya ‘operating day’. Sebagai doktor pakar sakit puan, Ummi saya perlu bergilir dengan kawan-kawan untuk membuat pembedahan sakit puan dalam 2 ke 3 kali sebulan. Ini tak termasuk pembedahan ketika kecemasan atau oncall. Ini dipanggil pembedahan elektif. Masa pembedahan pun 12 jam iaitu dari pukul 8 pagi sampai 8 malam. Ummi dah penat buat pembedahan tapi Ummi masih bertahan lagi bangun tengah malam 2-3 kali bagi saya susu. Saya pun tak tahu kenapa saya suka sangat minum kerap waktu malam. Sebab hormon prolaktin keluar banyak waktu malam kut. Kadang-kadang satu operation pun ambik masa 4 jam... Ada yang pendek sikit mungkin setengah jam. Biasanya, antara kes pembedahan ini lah Ummi akan berlari pergi toilet ke makan ke dan jugak EBM (perah susu). Ummi ada mungkin dalam setengah jam ke 40 minit untuk buat semua tu sementara pesakit yang sudah selesai di bedah dipindahkan ke ruangan pemerhatian dan pesakit seterusnya diberikan ubat bius. Kadang-kadang ummi tak sempat makan pun sebab ummi nak pastikan susu untuk saya ada. Susu ibu ni kena selalu perah, kalau tak kerap perah akan menyebabkan payu dara ibu penuh dan menghasilkan Feedback Inhibitor Of Lactation (FIL). Otak akan dapat signal dari FIL untuk mengurangkan penghasilan susu kerana menyangka bayi sudah mempunyai cukup susu dan tak perlu hasilkan lebih lagi sedangkan sebenarnya Ummi tak sempat nak pam sebab pembedahan berlanjutan lebih 4 ke 5 jam. Pernah sekali Ummi buat pembedahan yang susah dan ada komplikasi, Ummi membedah dari pukul 6 petang hingga pukul 5 pagi esoknya. Ayam pun tahu tidur. Ummi hanya keluar sekejap untuk solat jamak isyak dan maghrib pada pukul 11 malam dan ambik kesempatan perah susu sekejap sebab dah sakit dan terlalu bengkak. Akibatnya, pada keesokan harinya hasil perahan ummi berkurangan kerana FIL sempat keluar buat kerja dia. Ummi tak putus asa, ummi gandakan kekerapan perahan EBM. Ummi ambil setengah jam antara habis round ward Untuk solat Dhuha dan EBM sebelum turun semula ke wad. Waktu rehat 1-2 petang Ummi power pumping 1 jam. Barulah nampak hasil perahan ada naik sikit. Ummi bukan nak berlumba penuhkan freezer (peti sejuk beku), tapi Ummi risau juga bila simpanan berkurangan dan asyik ‘negative balance’ je sebab ummi sibuk dan tak sempat perah. Kalau ummi sibuk sangat, kadang-kadang Saya minum 4 botol, Ummi bawak balik 2 botol je. Tapi tips Ummi adalah jangan stress, ‘listen to your body’ (dengarlah isyarat dari badan anda). Kalau penat sangat kadang-kadang ummi tidur je rehat sekejap. Paling kuat pun Ummi pasang pam susu dan tidur sambil duduk dengan kepala terlungkup atas meja. Ummi kata Ummi takkan menyerah kalah untuk saya....

Tengok gambar ni ummi tak putus asa lawan raksasa untuk selamatkan saya.... setakat EBM dengan PP (power pumping) no hal la...😆