top of page

Wanita dan Penyakit 4 Serangkai

Selalu kita mendengar penyakit tiga serangkai atau tiga sekawan kata sesetengah orang... Darah tinggi, kencing manis dan sakit jantung. Gabungan ketiganya cukup ampuh menjadi senjata asbab kita dijemput ke alam sana... 


Untuk kaum wanita, saya ingin tambahkan satu lagi rangkaian kepada tiga serangkai ini... iaitu Barah rahim... (Endometrial Cancer). Pesakit yang sudah pun didiagnosa dengan penyakit 3 sekawan ini mempunyai cukup bahan dan ramuan untuk 'memasak' sel kanser di dinding rahim.


Kandungan lemak dan kekurangan sensitiviti pada insulin yang menjadi punca Diabetes (kencing manis) dan sakit jantung telah menjadikan badan wanita menghasilkan kadar estrogen yang tinggi. Ini akan menyebabkan dinding rahim menjadi tebal dan membentuk tisu pra-kanser.


Berita baiknya, selalunya kanser sebegini adalah dari jenis gred rendah (Gred 1) yang kurang sikit tahap keganasannya berbanding jenis kanser lain. Ia biasanya sempat dikesan di tahap awal dan boleh dibedah sepenuhnya.


Berita buruknya pula adalah keadaan kesihatan dengan penyakit tiga serangkai atau tiga sekawan ini menyebabkan pesakit tidak sesuai menjalani pembedahan. Risiko pembedahan terlalu tinggi buat mereka hingga boleh membawa maut di katil pembedahan.




Ada yang meminta segera untuk dibedah apabila diketahui diagnosa kanser, tetapi kami tidak berdaya untuk meneruskannya atas risikonya pada anda. Bak kata Hippocrates 'Primum Non Noccere' iaitu first do no harm (pertama-tamanya jangan buat kemudaratan).

Bukan setakat kami berpegang kepada 'Hippocratic Oath' atau sumpah Hippocrate, bapa perubatan yang diukir dengan batu dari bahagian kepalanya hingga dada dalam buku sejarah itu. Dalam persoalan feqah juga menghuraikan pilihlah kemudaratan yang ringan antara dua mudharat.


Jika pembedahan boleh membawa maut, kanser rahim masih boleh dirawat dengan sinaran radioterapi. Pesakit sebegini akan di rujuk ke bahagian onkologi untuk rawatan selanjutnya.

Lagi satu fakta bukan auta ialah, pesakit kanser memerlukan temujanji susulan sepanjang hidup. Mengapa? Kerana sel kanser itu boleh datang balik pada bila-bila masa.


Saya berjumpa dengan seorang pesakit yang sukar menerima hakikat kansernya datang semula. Katanya, doktor kata setelah dibedah kanser telah dirawat. Betul kanser telah dirawat dan ketika itu mungkin beliau tidak memerlukan sebarang radioterapi atau kemoterapi. Tapi, sudah namanya kanser, ia berpotensi untuk datang semula.


Kalau 3 serangkai untuk lelaki.. untuk wanita 4 serangkai ya...

247 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page